Assalamualaikum WBTH
a- Ustaz, saya ada mendengar bahawa barangan emas tidak boleh di beli
secara ansuran, adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli
emas secara tangguh ini amat berleluasa terutamanya di Kelantan.
b- Pohon penjelasan ustaz juga berkenaan cara menukar emas lama dengan
yang baru, yang dikenali sebagai "trade in" yang selalu di lakukan oleh
kaum wanita di Malaysia.
- ingin selamat di akhirat-
Jawapan :
a. Jawapan Emas di Jual Beli Secara Ansuran.
Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.
Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap
emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak
hujah ini kerana gelkang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di
bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya.
Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan
disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah
al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said
Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.
Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa
at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu'
oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn
Quddamah , 6/60 )
Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat)
mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr'
(serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus
berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang
berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya
secara ansuran dan hutang.
Khatib As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil
pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu
tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.
Bagaimanapun terdapat satu pendapat minorti ulama yang mengatakan bahawa
emas tulen apabila ia telah di bentuk sehingga menjadi rantai, gelang
dan cincin. Ia telah menjadi sil'ah (barangan dagangan seperti kereta
kerana terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi
dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah.
Pandangan minority ini di katakan adalah pandangan Ia adalah pendapat
Mu'awiyah (Rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab
Buyu' no 2541; An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah
menegur Mu'awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan
kemudian mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn
Taymiah dan Ibn Qayyim (Rujuk I'lam al-Muwaqqi'ien, 2/141 utk pendapat
Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat utk pendapat Ibn
Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu' al-fatawa kita akan dapati Ibn
Taymiah bersama pendapat jumhur pula). Hasilnya menurut kumpulan ini
adalah Harus untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran
kerana ia telah jadi sil'ah (barang dagangan).
Ia disokong Prof Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh
As-Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana "umum al-balwa" - Perkara
maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk di
halang).
Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki ( w 595
H) berkata (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa:
"perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari katergori emas tulen
(yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus
menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.
Ibn Mufleh al-Hanbali (w 763 H) pula berkata (rujuk al-Mubdi' 4/149) :
Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun'ah
(pembuatan dan pertukangan).
Dalil-dalil jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab
Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu'awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin
Muhd Al-Kamali (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558)
Kesimpulan dan pandangan terpilih : Maka hukum barang kemas adalah sama
dalam hal ini, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap
pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan
Fiqh Sedunia telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud
istilahiah' yang sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang
kemas dengan wang adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh
tafadhul kerana tidak sama jenis.
b- Jawapan Bagi ‘Trade in' Emas Lama Dengan Emas Baru.
Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in' emas lama dengan yang
baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut
hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap
barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil'ah, maka bila seseorang
ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti
punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya
al-muamalat al-Maliah al-Mu'asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ;
Al-Buyu' al-Sya'iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :
i) Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas
tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia
adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang
kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang
mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti.
Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu', no 4553. Jika tidak
Riba Al-Fadl akan berlaku.
ii) Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' ( diserah dan terima dalam
satu masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran
matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa
serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian
penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika
tidak, Riba Nasiah akan berlaku.
Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan 'trade
in' dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak
bayar tambahan harga itu?
Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi.
Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : "Juallah dengan
sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit
kamu tadi"
JELAS, CARANYA : MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN 'TRADE IN'.
MENJUAL TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH
MENGAMBIL DUIT HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA
KITA RM 2000 DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN
RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG
DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM
500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU
ITU.
Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan
kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.
No comments:
Post a Comment